"Setelah pantang dilanggar,
Apa yang terhijab telah terzahir,
Yang misteri telah terungkai,
Rahsia kini bukan lagi rahsia,
Sengketa lama kembali bertaut,
---------------------------------------------------------------------------
Kampung Anduka
“Mika! Tunggu aku! Sudahlah tu, aku dah penat ni kejar kau”
“Alah, kau ni Riat. Baru jalan sikit macam tu dah penat.” galak sungguh Mika ketawakan Riat sahabatnya iu.
Kasihan melihat Riat seperti itu, lalu Mika akhirnya berhenti juga. Berteduh di bawah satu pohon yang rendang. Termengah-mengah Riat berjalan menuju ke pohon itu. Mika dan Riat sememangnya bersahabat sejak mereka kecil lagi. Rumah mereka juga tidak berjauhan. Hanya Riat yang sudi berkawan dengan Mika. Lagi-lagi sejak lima tahun lepas. Setelah satu peristiwa menimpa keluarga Mika. Mika sering menjadi bahan ejekan rakan sebayanya.
Riat pula tidak mengambil endah atas khabar angin yang tersebar tahun lalu. Padanya mulut manusia memang tidak akan pernah berhenti mengata selagi belum disuap dengan tanah kubur. Kalaupun desas desus itu betul sekalipun, dia tetap mahu berkawan dengan Mika. Kerana Mika mempunyai keperibadian yang baik. Sekadar kuat menyakat kadang kala.
“Eh, Mika. Kita dah hampir dengan hujung kampung ni. Jomlah balik. Ni kalau ada yang nampak ni, habislah kita” Ujar Riat dalam dia masih tercungap-cungap tidak cukup nafas.
“Tak ada apa lah. Hujung kampung tu ada sungai je. Mana ada bahaya apa- apa. Lagipun kan kita dekat sini. Bukan kita mandi manda di sungai tu.”
“Memanglah cuma sungai sahaja, tapi kau lihat lah itu, terlalu hampir dengan hutan yang tidak diteroka manusia lagi. Hari pun dah hampir lewat ni. Sebelum makhluk-makhluk kejahatan keluar buat kerja, baik kita pulang.” Kata Riat sambil memandang kiri dan kanan. Dia memang sangat percaya akan perkara-perkara begitu.
“Aku tengok kau sahaja yang jahat dekat sini” Mika ketawa berdekah. Riat mencebikkan bibirnya.
Memang diantara mereka berdua, Riat bersikap lebih penakut berbanding Mika. Mungkin faktor kehidupan Mika yang lebih banyak mandiri menjadikan dia lebih berani. Sejak kecil sudah diasuh untuk berani walau terpaksa bergerak seorang diri. Baginya, bayang-bayang sendiri pun akan meninggalkannya di saat gelap. Jadi, apa yang perlu dia takutkan. Dia yakin akan selamat dibawah perlindungan-Nya.
Dalam keheningan petang, saat mentari bakal melabuhkan tirainya. Ungas-ungas pula mulai terbang pulang ke sarang. Kaki langit semakin menyerakkan warna seakan pawaka. Sememangnya petanda hari akan berganti malam. Dan sebelum malam membuka tirai, sudah pasti alam akan melewati saat senjakala. Orang tua-tua selalu berpesan, di saat senjakala ini sering kali musibah mudah mendatangi kita jika terus berada di luar rumah. Maka, diam di dalam rumah dan bersiap untuk maghrib adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan.
“Yelah, jom kita balik. Aku pun tak nak buat ayah aku risau. Dia bukan boleh kalau aku balik lewat sangat.” Mika masih mempunyai rasionalnya walaupun kadang kala jarang mendengar nasihat Riat.
Mika dan Riat lekas bangun untuk pulang. Tiba-tiba… sekilas pandang Mika terlihat kelibat kanak-kanak lelaki berlari dibelakangnya.
“Siapa tu?” Tanya Mika sambil dia berpusing ke belakang pohon itu untuk melihat susuk tubuh kanak-kanak itu. Fikranya mungkin budak kampung yang cuba bermain-main dengannya.
“Kau cari siapa Mika? Riat bertanya kehairanan.
“Tak, tadi aku perasan ada budak lari dekat belakang ni. Kau tak nampak ke?”
“Mana ada budak-budak berani pergi sampai sini. Kita berdua sahaja dari tadi. Kau jangan macam-macam Mika. Dah, lekaslah.” Riat sudah merinding.
“Aku tak tipu. Memang aku nampak tadi”
Riat tidak menjawab. Bermacam-macam bayangan yang terbayang di matanya sekarang ni. Hematnya, betullah jangan di luar rumah saat senjakala.
Mika pula tidak senang hati, dia pun dengan lincah melangkah jauh dari pohon itu bersama Riat. Masing-masing diam seribu bahasa. Akal mereka terbejat dek perkara tadi. Mana mungkin ada budak kecil bermain hampir dengan hutan lewat senja begini.
***
Website paling ternama dan paling terpercaya di Asia
ReplyDeleteSistem pelayanan 24 Jam Non-Stop bersama dengan CS Berpengalaman respon tercepat
Memiliki 8 Jenis game yang sangat digemari oleh seluruh peminat poker / domino
Link Alternatif : arena-domino.net
100% Memuaskan ^-^